Thursday, February 25, 2016

SADE 1013 KEUSAHAWANAN


E-DAGANG


1.0 Sejarah dan evolusi e-dagang
            Sejak kemunculan internet sejak pertengahan 90-an, dunia telah mengalami tranformasi yang signifikan dari segi kaedah perniagaan, ekonomi, sosial dan politik. Misalmya di Malaysia, e-dagang yang dijalankan melalui infrastruktur internet yang telah menyebabkan landskap perniagaan berubah secara mendadak. Malaysia tidak terkecuali dari dunia digital ini walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan halangan.
            E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce  (EC) merupakan satu sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat, terutamanya telekomunikasi canggih sehingga dapat memuaskan dan melindungi pengguna-penggunanya iaitu yang terdiri daripada pembeli, penjual, dan juga pihak-pihak ketiga seperti syarikat kewangan, syarikat kad kredit, bank, pengeluar sijil pengesahan digital. Sejak kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya laman Web untuk  mengadakan satu rangkaian yang menyatukan antara penjual, pelanggan, dan juga pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat dan boleh dipercayai oleh semua pihak. Dengan E-dagang, individu mahupun sesebuah syarikat boleh melakukan transaksi jual dan beli dari dan di mana sahaja di dunia ini tanpamngira masa. Antara prasyarat terpenting untuk menjalankan perniagaan dalam suasana yang menggunakan teknologi E-Dagang ini ialah pemilikan kelengkapan IT yang sesuai seperti gajet, telefon bimbit dan prasarana telekomunikasi yang membolehkan kita mengkases Internet seperti WiFi. 
Berdasarkan perkembangan ekonomi semasa, penggunaan E-dagang dijangka akan melonjak naik dari setahun demi setahun sesuai dengan meningkatan penerimaan IT dalam kalangan masyarakat di negara ini. Walau bagaimanapun, penerimaan e-dagang secara meluas dalam kalangan masyarakat ialah persepsi masyarakat bahawa perniagaan e-dagang masih tidak boleh dipercayai 100% dari segi keselamatan dan kepercayaannya berbanding dengan cara-cara tradisional perdagangan. Menurut (Edward John, 2013), E-Dagang merupakan satu metodologi perniagaan yang menggunakan perantaraan elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan pelanggan bertemu dalam suasana virtual atau maya untuk melakukan urusniaga dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain. Ini bermakna E-Dagang melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila masa sahaja dan di mana jua menerusi akses kepada Internet. Kaedah ini amat selesa bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di kaunter. Pembekal ataut peniaga akan mendirikan gedung maya dan mempromosikan perniagaannya melalui laman web.  Produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan dan pengguna akan disenaraikan melalui laman web masing-masing. Antara cara-cara pengiklanan adalah dengan meletakkan sepanduk elektronik secara berbayar atau pintar seperti penukaran sepanduk dengan mana-mana laman web lain. Organisasi-organisasi ini akan menawarkan laman web secara percuma kepada semua pengguna Internet di mana mereka boleh memaparkan iklan sepanduk organisasi mereka kepada pengunjung laman web tersebut. Dalam hal ini, pembeli atau pelanggan hanya perlu mengunjungi mana-mana tapak web E-Dagang dan membuat pemilihan produk dan perkhidmatan yang dikehendaki. Menurut Ang  Chiew Seng, 2012, produk yang dipilih pasti akan sampai dalam tempoh yang ditetapkan. Konsep perniagaan ini memerlukan kepakaran teknologi maklumat yang menggabungkan teknologi komputer dan telekomunikasi telah menghasilkan kebangkitan dan perkembangan dalam industri teknologi maklumat.

Negara Malaysia telah muncul ke hadapan dalam bidang e-dagang dengan munculnya Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC). E-dagang secara drastik telah mengubah cara perniagaan dan perdagangan dijalankan sekarang dan pada masa hadapan di Malaysia. Ianya dikuasai oleh maklumat iaitu marketspace dan amat berbeza dari ekonomi fizikal yang menjadi amalan biasa sebelum ini. Ini bermakna E-dagang secara amnya merangkumi aktiviti-aktiviti ekonomi melalui elektronik dan melangkau semua transaksi yang berasaskan kepada kertas serta merupakan satu aspek penting dalam menentukan kejayaan e-dagang adalah banyak bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan peniaga dan pengguna.  Di Malaysia dengan kemunculan perniagaan E-dagang ini sebenarnya telah banyak didorong oleh perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat. Selain itu, masalah-masalah yang wujud dalam perniagaan berbentuk konvensional turut membantu perkembangan E-dagang. Dilema utama dalam aktiviti perdagangan sejak dahulu ialah jarak yang jauh antara peniaga dan pembeli. Untuk mengembangkan perniagaannya, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan pasarannya yang akan melibatkan kos yang banyak seperti pengangkutan, penyelenggaraan dan sebagainya.

Di samping itu, selain faktor jarak faktor waktu juga perlu diambil kira, lebih-lebih lagi jika melibatkan perdangangan antarabangsa di antara negara yang berbeza zon waktunya. Ini kerana ianya sudah tentu akan merumitkan bagi mereka untuk berurusan sesam mereka. E- Dagang  atau kini lebih popular dengan istilah dotcom merupakan satu alat atau mekanisma yang akan membantu pembekal perkhidmatan dan produk menyelesaikan masalah ini.

2.0 Kepentingan e-dagang dalam perniagaan
Konsep perniagaan e-dagang amat penting dalam memodenkan lagi dunia perniagaan. Ini kerana perniagaan ini mampu melahirkan jumlah usahawan dan seterusnya menyemarakkan lagi dunia perniagaan. E-Dagang diklasifikasikan kepada dua kategori kunci iaitu di antara perniagaan dan perniagaan dan di antara perniagaan dengan pengguna. E-Dagang di antara perniagaan dan perniagaan akan melibatkan transaksi di antara dua atau lebih syarikat atau organisasi. Biasanya ianya melibatkan di antara pembekal dan organisasi penjual dan pemasar. Contohnya apabila sebuah kilang pengeluar atau pencetak buku berurusan dengan sebuah gedung buku. Jenis E-Dagang yang kedua pula akan melibatkan diantara penjual dengan pengguna akhir sesuatu produk. Contohnya gedung buku menjual produknya kepada pengguna melalui E-Dagang. E-Dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di seluruh dunia termasuklah di Malaysia. Ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara dalam Teknologi Maklumat atau information technology (IT) di mana ia bertindak sebagai penyokong utama E-Dagang dan ini telah menunjukkan peningakatan yang amat ketara dalam masa beberapa tahun sahaja. Perangkaan terkini menyatakan bahawa pengguna Internet telah meningkat kepada 200 juta melalui sambungan dail terus dan 17 juta pengguna melalui sambungan tetap. Di Asia Pasifik termasuk Jepun penggunaan Internet telah meningkat kepada anggaran 25 juta pada tahun 2000. Peningkatan ini adalah 150% berbanding tahun 1997 sebanyak 10 juta pengguna. Kecenderungan trend menunjukkan penggunaan ini berkait secara langsung dengan e-dagang. Dari segi pendapatan pula, pada tahun 1998 E-Dagang telah mencatat perolehan sebanyak US$31 juta di Amerika. Jumlah ini akan dijangka meningkat kepada US$183 juta iaitu peningkatan sebanyak 500% pada tahun 2003.

3.0 Penggunaan e-dagang secara global
Perniagaan e-dagang telah berkembang secara meluas di seluruh pelusuk dunia seiring dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat. Melalui perniagaan e-dagang, pembekal atau peniaga telah melantik 'agen maya' secara bebas kepada mana-mana pemilik atau webmaster laman web. Pemilik mana-mana laman web yang berminat akan mengisikan borang permohonan dan dalam tempoh beberapa hari mereka akan dilantik menjadi agen maya setelah mereka memasang sepanduk pembekal dalam laman mereka. Kod sumber html sepanduk berkenaan akan melibatkan No. ID iaitu merupakan nombor pengenalan perujuk iaitu pemilik laman web di mana perujuk akan diberikan komisyen setiap kali transaksi berlaku menerusi laman web berkenaan.

Transaksi E-Dagang akan melibatkan pihak ketiga seperti pengeluar kad kredit, syarikat kewangan, bank dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila pembeli ingin membuat sesuatu pembelian produk, mereka akan diminta memberikan nombor kad kredit mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini akan membenarkan komputer penjual atau peniaga memintas nombor kad kredit pembeli untuk menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini nombor kad kredit pembeli tidak akan dibaca oleh penjual. Di antara teknologi yang menyokong pembayaran melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SEL). Selain itu, terdapat beberapa mod pembayaran yang telah diperkenalkan organisasi yang membangunkan E-Dagang seperti tunai digital (digital cash), cek digital dan teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi PKI (Public Key Infrastructure) dan sijil digital. Kaedah tunai digital membolehkan pembeli menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash, Net.Trader dan Cyber Cash di Amerika Syarikat. Di Malaysia kaedah ini mula dibangunkan oleh MIMOS Berhad dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui laman web Jaring's Mall. Apa yang perlu dilakukan oleh pengguna ialah mengisi borang permohonan dan memilih nilai wang digital yang mereka kehendaki. Setelah proses pembayaran kepada Jaring's Mall dilakukan anda akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan anda melakukan pembelian.

Menurut Lee Fong Yeaw, 2013, salah satu isu yang amat penting di dalam E-Dagang ialah kebimbangan pengguna terhadap keselamatannya. Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan transaksasi melalui talian kerana masih terdapat kemungkinan maklumat peribadi mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer. Namun dengan kemunculan teknologi seperti SSL, SET dan peningkatan firewall, pengguna tidak perlu lagi bimbang akan keselamatan semasa melakukan pembayaran. Sebagai contoh teknologi SET memerlukan pembeli, penjual dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan identiti mereka semasa melakukan urusniaga dan transaksi. Pengesahan ini akan dilakukan secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya.




Gambar 1: Courasell




Gambar 2: Go Shop



Gambar 3: Lazada.com






 
4.0 Tahap penggunaan e-dagang di Malaysia
Tahap penggunaan e-dagang di Malaysia pula E-Dagang ternyata menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 1998 jumlah transaksi perniagaan melalui E-Dagang ialah sebanyak US$15 juta iaitu hampir 50% daripada perolehan di Amerika Syarikat pada tahun yang sama. Kemudian ianya telah meningkat kepada US$46 juta pada 1999 dan manakala pada tahun 2003 pendapatan E-Dagang dijangka  akan mencecah US$1560 juta.E-Dagang meliputi enam sektor perniagaan yang utama iaitu pelancongan, pendidikan, pengiklanan, bidang professional, kewangan dan peruncitan. Kesemua sector ini telah menyumbangkan pertumbuhan yang ketara terhadap perdagangan melalui talian. Pada tahun 1998 pendapatan E-Dagang dalam sektor pengiklanan telah mencecah sebanyak US$1.3 billion.
Dalam bidang pendidikan, pada tahun 1997 bilangan penuntut jarak jauh ialah sebanyak 120 ribu dan telah meningkat kepada 710 ribu pada tahun 1998. Sementara itu penggunaan teleperubatan telah meningkat sebanyak  300% dan lebih kurang 3 juta orang mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut. Sementara itu, bagi sektor kewangan pula, pada tahun 1998 pembelian aplikasi perbankan bernilai US$93 juta dan telah dijangka meningkat sebanyak US$326 juta pada tahun ini. Manakala bagi sektor pelancongan pula, tempahan tiket yang diperolehi melalui Internet pada tahun 1997 hanyalah US$100 juta tetapi ia dijangka akan meningkat kepada US$3.1 billion pada tahun 2002.

Ini ialah berikutan keyakinan orang ramai yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan keberkesanan urusniaga melalui talian. Pengguna yang akan merancang perjalanan menggunakan Internet dijangka meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta. Menurut Ang Chiew Seng, 2012, kemunculan E-Dagang merupakan salah satu prospek yang pintar dan menguntungkan para usahawan. Ini kerana berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan menjadi satu bentuk perniagaan yang utama dalam masa beberapa tahun lagi. Perkembangan semasa telah menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap K-Ekonomi dan arus globalisasi. Kesan ini mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di negara-negara maju, ianya telah menjadi trend masyarakat di sana untuk melakukan pembelian online.


5.0 Cabaran/halangan penggunaan e-dagang
Secara umumnya e-dagang merupakan satu model perniagaan yang mana segala aktiviti perniagaannya dijalankan sepenuhnya melalui penggunaan internet sebagai medium. Aktiviti e-dagang merangkumi penggunaan laman web bagi tujuan penjualan produk atau perkhidmatan kepada pelanggan, melakukan pemasaran menerima bayaran melalui internet dan pengurusan khidmat pelangan secara online. Terdapat beberapa jenis perniagaan yang boleh di jalankan melalui medium internet iaitu yang berasaskan produk fizikal, produk digital dan produk perkhidmatan. Antara kebaikan menggunakan kaedah e-dagang ialah perangkaian dan integrasi di antara semua syarikat-syarikat yang berhubung baik dengan pembeli, penjual ataupun penyedia perkhidmatan berkenaan. Menurut Majalah PC, Mei 2006) ianya memudahkan pertukaran maklumat dan transaksi perniagaan dapat dijalankan dengan sekelip mata serta tidak dibelenggu dengan kerenah pengisian borang-borang dan birokrasi. Kebaikan E-Dagang yang paling ketara ialah dari segi memberi keselesaan membeli-belah dalam ketenteraman rumah kepada pembeli. Keadaan ini telah memberi peluang kepada pembeli untuk berbincang bersama ahli keluarga sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli. Belian yang menepati keperluan seisi keluarga adalah menjimatkan. Selain itu E-Dagang berupaya memberi maklumat yang mesra pelanggan dan terkini. Kemesraan ini terletak kepada susun atur yang mudah untuk dilayari serta mempunyai penerangan untuk setiap barangan dalam laman web. Maklumat yang diberi bertujuan untuk membolehkan pengguna membuatpilihan dengan betul. Di samping itu, e-dagang juga telah banyak memberikan kesan yang negatif kepada pengguna iaitu ketersampaian kadar sesuatu barang yang perkhidmatan yang digunakan ditempah.Perkhidmatan yang baik merupakan faktor utama pengguna menggunakan perkhidmatan e-dagang melalui internet. Akan tetapi,barang yang ditempah daripada pengusaha tidak akan cepat sampai kepada para pengguna kerana memerlukan tempoh masa beberapa hari. Ini menyebabkan para penguna tidak yakin dengan e-dagang.

Manakala dari segi kepuasan juga, turut mempengaruhi para pengguna menggunakan perkhidmatan e-dagang ini.Para pengguna lebih mementingkan kualiti sebenar sesuatu barangan yang dibeli.Pengguna yang bijak tidak melihat sesuatu barangan dari segi luaran semata-mata tanpa mengetahui kualiti sebenar barang tersebut. Sebagai contoh, para pengguna hanya dapat melihat katalog yang diiklankan dalam perniagaan internet sahaja. Jelaslah bahawa, e-dagang dapat menimbulkan kesan baik dan juga kesan buruk kepada para pengguna.Sekiranya perkhidmatan e-dagang ini digunakan sebaik-baiknya akan memberikan manfaat kepada pengguna. Tetapi sekiranya pengguna yang tidak bijak menggunakan perkhidmatan ini akan menyebabkan mereka kerugian dan memberi kesan buruk kepada mereka.

Malaysia yang kini telah menuju ke arah negara perindustrian yang maju menjelang tahun 2020 di mana sektor perniagaan dijangka akan menjadi paling penting bagi negara. Ini bukan sahaja merupakan sektor sokongan tetapi lebih ke arah menyediakan asas dan teknologi bagi memastikan kejayaan pembangunan perusahaan yang lebih besar di Malaysia. Kepesatan globalisasi dalam abad ke-21 adalah cabaran utama yang perlu dihadapi oleh semua negara pada masa kini termasuklah negara Malaysia. Malaysia tidak dapat mengelak daripada menghadapi cabaran ekonomi dan budaya yang berpunca dari globalisasi. Pembukaan pasaran China dan India kepada ekonomi global telah mengubah dengan nyatanya persekitaran ekonomi negara maju dan negara membangun. Secara tidak langsung, keadaan ini memberi peluang dan cabaran yang perlu dihadapi oleh usahawan untuk memperkembangkan perniagaannya tanpa dibatasi dengan kekangan sempadan geografi.



6.0 Faktor-faktor pendorong penggunaan e-dagang
Jika halangan utama bagi seseorang usahawan menjalankan perniagaan di bandar iaitu untuk peluang pasaran yang lebih luas ialah kadar sewa bangunan yang tinggi, maka dengan E-Dagang masalah itu tidak akan wujud lagi. Dengan menempatkan perniagaan di sebuah pelayan web utama, mereka telah menempatkan diri mereka secara global. Ini kerana teknologi web membolehkan ia diakses dari mana-mana tempat sekalipun dan pada bila-bila masa. Apa yang menarik lagi tentang e-dagang ini ialah kosnya secara relatif adalah amat kecil. Contohnya untuk menempatkan perniagaan produk atau perkhidmatan di pelayan web Yahoo Geocities atau Fortunecity, dua buah pelayan web yang mempunyai komuniti berjuta-juta pengguna Internet anda hanya perlu membayar lebih kurang RM100-150 sebulan sahaja. Potensi pasaran usahawan ialah kesemua komuniti Yahoo Geocities, Fortunecity khususnya dan pengguna Internet amnya. Selain itu usahawan turut ditawarkan khidmat penyelenggaraan perniagaan maya mereka di laman web.

Perkembangan yang pesat dalam teknologi maklumat telah mendorong beberapa firma korporat di Malaysia untuk membangunkan E-Dagang. Ini kerana ianya dapat dilihat daripada usaha firma-firma ini mendirikan mendirikan tapak-tapak web yang menyokong platform E-Dagang. Antara pelopornya ialah Hitechniaga Sdn.Bhd. melalui kerjasama Microsoft Corp. yang telah membangunkan tapak web Mybiz. Tapak web ini telah dibangunkan khususnya untuk syarikat yang bertaraf IKS iaitu Industri Kecil dan Sederhana mendirikan perniagaan di Internet. Selain itu syarikat Mytex Solutions Sdn. Bhd. yang juga merupakan sebuah syarikat yang mencipta dan mempamerkan halaman web telah memperkenalkan pakej 'ringgit sehari' untuk perniagaan tempatan. Pakej ini ditawarkan kepada sesiapa sahaja terutama daripada IKS untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka melalui laman web sendiri. Selain itu Kumpulan Renong juga telah melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan jangka masa panjang yang amat menguntungkan ramai usahawan yang terlibat samada kecil mahupun besar di Malaysia. Dipapan-papan utama BSKL juga menunjukkan potensi yang amat memberangsangkan terhadap apa yang dikenali sebagai 'saham internet, ''saham teknologi maklumat' atau 'saham IT'. Di samping organisasi korporat tempatan, firma/organisasi gergasi/bluechip asing ternyata turut berminat untuk mengembangkan E-Dagang di Malaysia. Menurut Lee Fong Yeaw, 2013 di Malaysia, Microsoft Corp. umpamanya sudah mengumumkan komitmen mereka untuk membantu pengusaha kecil agar dapat melibatkan diri dalam E-Dagang. Syarikat ini telah pun mengadakan usaha sama dengan TMNet, GHL Technologies, Hitechniaga, Sunway Technologies dan Silicon Communication dalam membangunkan persekitaran E-Dagang berasaskan pelantar teknologinya.

8.0       Penutup

Kesimpulannya, konsep perniagaan e-dagang telah mencetuskan satu fenomena dalam dunia perniagaan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di seluruh dunia. Ini kerana perniagaan yang berlandaskan kepada perkembangan pesat dalam industri teknologi maklumat ini telah memberikan impak yang cukup baik terhadap perkembangan pesat dalam bidang perniagaan globalisasi. E-dagang merupakan perubahan dalam industri IT adalah yang paling pantas sejak bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Industri IT adalah dinamik sekali apabila ia mengambil masa lebih kurang 20 tahun untuk berkembang pesat di serata dunia. Bersama-sama industri IT ini adalah perdagangan elektronik atau e-dagang yang memberi impak cukup besar dalam bidang perniagaan. Organisasi gergasi antarabangsa terutamanya yang berada di lembah silikon telah mencatat pulangan berbilion dollar melalui e-dagang.
Perdagangan Elektronik, juga dipanggil E-dagang atau dalam bahasa Inggerisnya Electronic Commerce atau e-commerce merupakan sebuah sistem perniagaan dan jual beli yang banyak menggunakan kemudahan teknologi maklumat terutama telekomunikasi canggih sehingga dapat melindungi dan memuaskan pengguna-penggunanya iaiitu yang terdiri daripada penjual, pembeli dan pihak-pihak yang ketiga seperti bank, syarikat kewangan, syarikat kad kredit, pengeluar sijil pengesahan digital dan lain-lain lagi.  Sejak kebelakangan ini, ianya banyak menggunakan Internet khususnya Web untuk mengadakan satu rangkaian yang menyatukan pelanggan, penjual dan pihak-pihak ketiga dalam satu persekitaran elektronik yang selamat untuk semua pihak dan boleh dipercayai. Usahawan harus bersedia mengikut rentak ekonomi masa kini, jika para usahawan itu ingin mendahului pesaing pada masa depan. Ilmu pengetahuan dan kemahiran sahaja akan menentukan survival usahawan dalam dunia perniagaan pada alaf milenium kini.


RUJUKAN